BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Jumat, 13 November 2009

Wayang Kulit

Persembahan Wayang Kulit Saupi didatangkan khas dari negeri Terengganu Darul Iman yang mana merupakan salah sebuah negeri yang kaya dengan kebudayaan dan kesenian tradisional. Justeru itu, pihak Istana Budaya mengambil inisiatif dengan membawa kumpulan ini untuk sama-sama mengangkat serta membudayakan seni tradisional ini.

Latar Belakang Kumpulan
Kumpulan Saupi Bunga Adani merupakan sebuah kumpulan Wayang Kulit yang dikenali ramai di sekitar Pantai Timur Semenanjung Malaysia khususnya di Terengganu.

Di bawah kelolaan Dalang Che Md Saupi Isa, kumpulan yang telah bergiat lama di Negeri Terengganu pernah mengadakan persembahan khususnya di seluruh Negeri Kelantan, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain di Malaysia.

Malah, sesuatu yang amat membanggakan kerana kumpulan ini telah pernah juga dijemput mengadakan beberapa persembahan di luar negara seperti Taiwan (1990), Jepun (1990), Singapura (1995), Thailand (1987 dan 1988). Indonesia (2007) dan Perancis (2007).

Dalang : Che Md Saupi Isa
Pemuzik : Abdul Rahman Dollah, Che Will Noh, Fauzi Jusoh, Nik Par Jid, MohdAzizul Che Will, Zarwi Hussin dan Mohamad Abdullah

Latar Belakang Dalang
Che Md Saupi berusia 51 tahun. Mula menjadi dalang bagi persembahan wayang kulit sejak berusia 17 tahun. Beliau banyak menimba bimbingan daripada dalang wayang kulit terkenal, Dollah Baju Merah.

Kini beliau menjadi tenaga pengajar muzik tradisional paluan pergendangan, dikir barat dan wayang kulit di Sekolah Menengah Hamzah, Machang Kelantan. Beliau adalah penerima Anugerah Seni Terengganu pada 2005.

Sinopsis

Kisah Bunga Adani dan Bunga Adano (4 Ogos 2007)

Raja Seri Rama telah bermimpi bunga Adani dan Adano, lalu memerintahkan hambanya iaitu Wok Yoh untuk mencari bunga-bunga tersebut. Namun, Wok Yoh enggan menuruti perintah sehinggalah Seri Rama menggunakan paksaan dengan memukul beliau untuk menuruti perintahnya.

Dalam perjalanan mencari bunga-bunga tersebut, beliau bertemu seorang lelaki tua di sebuah kampung. Daripada lelaki tua itu, Wok Yoh dapat mengetahui bahawa bunga Adani dan Adano sebenarnya berada di kampung itu serta di bawah jagaan jin bernama Bergah Sakti.

Cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Wok Yoh ialah beliau terpaksa bertarung untuk membunuh jin tersebut bagi mendapatkan bunga-bunga yang diingini oleh Raja Seri Rama.

Jembalang Emas Raja Wana (5 Ogos 2007)

Puteri Siti Dewi telah menghadap Raja Seri Rama memohon kebenaran untuk beliau mandi di kolam yang terletak di taman bunga. Dalam perjalanan Siti Dewi ke kolam tersebut, beliau telah disambar oleh Jembalang Botol Emas Raja Wana lalu dibawa lari.

Hanuman Kera Putih yang melihat kejadian tersebut telah mengejar jembalang berkenaan dan cuba menyelamatkan Puteri Siti Dewi.

0 komentar: